• Chua Soi Lek Chua Soi Lek
1 /

GOPENG - MCA mengesahkan akan melepaskan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Tronoh, yang merupakan kerusi tradisinya, kepada MIC untuk ditandingi pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata keputusan itu dibuat berdasarkan semangat perkongsian kuasa antara parti komponen Barisan Nasional (BN) selepas mendapat restu Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Atas perbincangan panjang lebar dengan Perdana Menteri, kita sedia menyerahkan kerusi Tronoh kepada MIC tanpa bersyarat kerana dalam pilihan raya, kita perlu mendapatkan sokongan semua bangsa untuk memastikan kemenangan BN.

"Kerusi boleh berubah, tiada yang tetap, justeru setiap kerusi perlu dilihat sebagai kerusi BN berbanding kerusi UMNO, MCA atau MIC, dan bersedia untuk melepaskan kepada komponen lain sekiranya ia mempunyai lebih potensi untuk menang," katanya kepada pemberita selepas melawat SRJK Lawan Kuda hari ini.

Pada pilihan raya umum 2008, kerusi Dun itu dimenangi calon DAP V.Sivakumar dengan majoriti 2,571 mengalahkan calon BN Lee Kim Choy dari MCA.

Chua berkata langkah itu juga diambil bagi menghargai sokongan kaum India kepada BN dan berharap masyarakat berkenaan akan terus memberi sokongan penuh kepada semua calon parti komponen BN yang bertanding dalam pilihan raya.

Beliau juga menyeru anggota MCA agar menerima keputusan itu dengan tenang serta menggunakan kebijaksaan untuk menilai bahawa keputusan berkenaan dibuat demi kepentingan BN.

Chua turut mengesahkan MCA akan bertanding di Dun Sungkai yang sebelum ini ditandingi MIC, manakala MIC pula di DUN Buntong, yang sebelum ini ditandingi MCA.

"MCA akan bertukar kerusi Dun Buntong dengan MIC di kerusi Dun Sungkai pada PRU13 berdasarkan bilangan pengundi Cina di Sungkai adalah kira-kira 55 peratus manakala pengundi India di Buntong seramai 45 peratus," katanya.

Pada pilihan raya umum lepas, kerusi Dun Sungkai yang ditandingi calon BN daripada MIC Datuk S.Veerasingam tewas kepada calon DAP A. Sivanesan dengan majoriti 1,454 undi, manakala DUN Buntong yang ditandingi Lee Tung Lai (MCA) tewas kepada A.Sivasubramaniam (DAP) dengan majoriti 5,315.

Terdahulu, Chua yang melawat Pusat Penjaja Lawan Kuda, mengumumkan peruntukan sebanyak RM80,000 untuk menaik taraf dan mengubah suai pusat yang berusia lebih 40 tahun itu.

"Sebanyak RM30,000 sumbangan Majlis Daerah Kampar dan RM50,000 dari Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan digunakan, antaranya, untuk menaik taraf kemudahan seperti kerusi dan meja serta sistem pengudaraan," katanya.   

Beliau berkata meskipun semua calon MCA tewas di Gopeng pada PRU12 namun parti itu tetap meneruskan khidmat dengan menyalur bantuan kerajaan BN, antaranya, menyumbang hampir RM2.5 juta kepada enam sekolah di sekitar Gopeng.

Katanya, pembangkang gagal menunaikan tanggungjawab kepada rakyat terutama di kawasan yang dimenangi mereka selain sering membiarkan masalah tempatan, termasuk kemudahan pembangunan, berlarutan tanpa bantuan wakil rakyat.

"Mudah menjadi wakil rakyat daripada parti pembangkang, khasnya untuk kawasan masyarakat Cina... mereka sekadar memainkan peranan sebagai antikerajaan dan mainkan isu mengapi-apikan masyarakat Cina supaya benci kepada kerajaan.

"Hanya BN sahaja yang serius berkhidmat untuk rakyat dengan membela dan memberi perhatian terhadap masalah tempatan dan pembangunan, tanpa mengira kaum dan latar belakang," katanya.

Mengulas manifesto BN yang dibentang Najib semalam, Chua berkata MCA dan masyarakat Cina mengalu-alukan jaminan yang diberi seperti sokongan serta bantuan kepada sistem aliran pelajaran Cina, termasuk peruntukan khas bagi membina lebih banyak sekolah berdasarkan permintaan.

"Manifesto itu juga mencerminkan permintaan MCA kerana ia terkandung bahawa petugas perkhidmatan awam seharusnya lebih berbilang bangsa, khasnya di kaunter perkhidmatan," katanya. - Bernama